- Home
- Artis
- Johan As'ari
- Johan pernah 'dibasuh'
Johan pernah 'dibasuh'
Dalam perkembangan semasa, Johan sibuk di penggambaran drama 30 episod, Cinta Tangkap Muat untuk siaran HyppTV. Selain itu, Johan menunggu tayangan beberapa filem lakonannya seperti Juvana 3, Tujuh, Kanang Anak Langkau The Movie dan Bopeng.
Pelakon Johan As'ari tidak malu mengaku dia pernah hanyut dengan populariti selepas membintangi drama rantaian, Juvana, kira-kira lima tahun lalu. Malah, Johan makin 'laris' selepas memenangi trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011.
Namun, Johan bersyukur, akhirnya dia sedar menjadi anak seni bukan sekadar mencari glamor, sebaliknya mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat melalui bidang lakonan.
"Saya 'dibasuh' abang-abang senior dalam industri. Mereka menasihatkan saya supaya lebih fokus kepada karier seni. Saya akui, ketika itu banyak cerita negatif mengenai saya yang berkait kisah cinta dan masalah disiplin. "Tapi saya tidak anggap mereka cuba mencampuri urusan peribadi, tapi mereka memberi nasihat kerana sayangkan bakat seni saya.
"Sejak itu saya muhasabah diri dan kembali mencari rentak dalam bidang ini. Saya juga cuba dapatkan naskhah drama dan telefilem yang mampu mencabar lakonan saya," katanya.
Kembali bangkit dalam industri, Johan menganggap masih banyak yang perlu dilakukan terutama dalam meningkatkan mutu lakonan. Sehubungan itu, set penggambaran menjadi sekolah terbaik untuk dia menambah ilmu lakonan.
"Saya jenis tidak malu untuk bertanya. Saya menjadikan pengarah dan pelakon yang lebih senior di set penggambaran sebagai rujukan. Saya ambil nasihat dan tip yang mereka beri untuk perbaiki mutu lakonan. "Bagi saya, belajar ilmu lakonan tidak pernah habis. Setiap pelakon ada pengalaman dan ilmu masing-masing. Jadi, sebagai pelakon baharu adalah rugi jika tidak menceduk ilmu dengan mereka," katanya.
Related Posts
Load comments