Album terbaru Rabbani
“Selain daripada lagu Yang Benar, Rabbani turut berduet dengan Black menerusi lagu Dalam Aku.
“Kerjasama dengan Black menyegarkan lagi album terbaru Rabbani, bahkan diharap dapat menarik golongan muda untuk bersama-sama menghayati lagu nasyid,” katanya.
Kira-kira 15 tahun lalu, Rabbani mencetuskan fenomena dan ‘keunikan’ dalam penyampaian lagu mereka apabila bekerjasama dengan KRU.
Lagu popular mereka seperti Pergi Tak Kembali dan Intifada yang dicipta kumpulan tiga beradik itu membawa kelainan dalam arena muzik nasyid dengan menampilkan genre muzik pop dan R&B.
Walaupun menampilkan lirik ketuhanan dan Islamik, Rabbani turut tidak disenangi segelintir pihak kononnya mereka ‘merosakkan’ muzik nasyid.
Kini Rabbani kembali bekerjasama dengan KRU apabila muncul dengan lagu terbaru berjudul Yang Benar ciptaan Edry Abdul Halim.
Selepas hampir 15 tahun, sekali lagi komposer terkenal itu memberikan ‘sentuhan ajaibnya’ kepada kumpulan nasyid berkenaan.
Album itu turut menyisipkan lagu duet dengan Datuk Siti Nurhaliza iaitu Muhammad Al Ameen ciptaan Pak Ngah dan lima lagi lagu, Mawar Berdarah, Permaidani, Syukur, Medley Salawat dan lagu Zakat Di Hati sumbangan Lembaga Zakat Selangor.
Dalam pada itu, Rabbani juga bakal mengadakan Konsert 3 Kejora Bersatu bersama Hijjaz dan Brothers.
Ketiga-tiga kumpulan itu menjanjikan persembahan yang menarik dan luar biasa.
Konsert anjuran Key Management itu akan diadakan pada 7 dan 8 Oktober ini di Istana Budaya.
Anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, mereka berjanji akan memberikan kelainan dalam konsert itu.
Selain itu, Rabbani juga menganjurkan Karnival Komuniti Bestari 2016 bermula semalam hingga 31 Ogos ini di Putra Heights, Selangor. - HMetro
Related Posts
Load comments